Tolak pemimpin tidak hormati undang-undang





Sementara demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dirasai, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berpandangan bahawa pemimpin-pemimpin yang tidak boleh mengikut peraturan dan undang-undang yang mereka sendiri gubal harus ditolak oleh rakyat.

Kata beliau, oleh kerana kesemua undang-undang digubal ahli-ahli Parlimen ahli-ahli politik khususnya mereka yang bergelar wakil rakyat sewajarnya menghormati keputusan Parlimen dan apa jua kekurangan harus dibincangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Abu Zahar yang juga bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ini berkata, peraturan yang wujud sehingga hari ini adalah berdasarkan perbincangan dan persetujuan pemimpin yang dilantik oleh rakyat.

Sehubungan itu katanya, pemimpin yang mengingkari peraturan dan undang-undang yang telah diputuskan oleh mereka sendiri tidak layak menjadi seorang pemimpin.

"Undang-undang yang wujud ada daripadanya dibuat oleh wakil rakyat sendiri di Parlimen.

"Jadi kalau mereka ada melanggar undang-undang, jangan lantik dia lagi pada PRU ini," katanya pada sesi dialog bersama peserta program Zamalah Wartawan Muda 1 Malaysia, yang disertai 24 orang pengamal media, di bangunan Parlimen semalam.

Selepas Perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, ibu negara bakal menyaksikan satu lagi perhimpunan, yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat, dikenali sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Ia akan berlangsung di Stadium Merdeka Sabtu ini berbanding sebelum ini di tempat terbuka.

Penganjur himpunan mendakwa pilihan raya di Malaysia tidak bersih dan telus.

Penganjur Perhimpunan Bersih 3.0, Bersih 2.0, juga telah melanggar peraturan apabila himpunan itu tetap diadakan di Dataran Merdeka walaupun tidak mendapatkan kebenaran dan permit.


Mengulas lanjut Abu Zahar berkata, sebarang bentuk himpunan boleh dilakukan, namun perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, peraturan penting bagi mewujudkan suasana di sesebuah negara kekal aman.

"Bukan kita tak bagi, tapi perlu ikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Ini penting untuk terus mewujudkan suasana aman," katanya.

Pada pertemuan itu, Abu Zahar, bekas anggota polis berharap negara tidak berhadapan satu lagi peristiwa hitam 13 Mei.

"Kejadian itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969 di mana ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

"Perkara itu timbul disebabkan satu kaum kerana memenangi kerusi pilih raya, " katanya.

Sementara itu, beliau meminta supaya pada PRU13 ini, media berperanan membina pemikiran rakyat, untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.

Katanya, himpuan rakyat yang ingin dibuat oleh pembangkang  mengikut undang-undang dan peraturan yang digariskan oleh kerajaan.

Ditanya mengenai sekiranya pembangkang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik sekali gus menggubal rang undang undang di Malaysia, beliau menegaskan bahawa parti pemegang tampuk kuasa iaitu BN akan kekal memerintah.

Katanya, beliau sangat yakin dengan kemampuan BN memerintah pada masa akan datang.

1 komen:

  1. Salam admin, nak contact admin camner? kat contact us tu xleh pun..mohon respon..

    ReplyDelete