Kedai Buku 1Malaysia (KB1M)




PEMBUKAAN Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang pertama di Malaysia sempena pelancaran Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) pada 22 September lalu membuka satu lagi ruang untuk memupuk dan merakyatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Selepas sebulan pembukaannya, penulis berkesempatan mengunjungi KB1M di UTC KL. Bertempat di kawasan yang strategik yang dahulunya lebih dikenali sebagai Pudu Raya sebelum bertukar nama menjadi Pudu Sentral buat seketika, KB1M boleh membantu meringankan beban pembaca yang dahagakan ilmu tetapi kurang berkemampuan untuk membeli bahan bacaan dengan jumlah yang banyak.

Harga buku di KB1M adalah lebih murah berbanding kedai-kedai buku lain dan ini merupakan kelebihan utama KB1M. Bagi buku-buku keluaran terbaharu, harganya lebih murah sehingga 15 peratus berbanding harga di kedai-kedai buku lain. Bagi buku-buku yang agak lama, ada dijual dalam lingkungan RM5 hingga RM15.

Layanan yang diberikan oleh kakitangan KB1M kepada penulis juga amat baik setiap kali penulis bertanyakan mengenai buku-buku yang dijual di situ. Bagi para pembeli, layanan baik juga boleh menjadi pemangkin kepada mereka untuk menjadi pelanggan tetap KB1M.

Cuma meskipun harga bahan bacaan lebih murah berbanding kedai-kedai buku lain di samping layanan mesra kakitangannya, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan agar rakyat dapat merasai betapa KB1M adalah lebih menarik untuk dikunjungi berbanding kedai buku yang lain. Ini kerana faktor harga yang murah saja bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan para pembaca datang membeli bahan bacaan.

Begitu juga faktor layanan terbaik yang diberikan oleh kakitangan kepada para pembaca tidak akan membawa mereka datang sekali lagi sekiranya pembaca berasakan kedai buku lain lebih menarik berbanding KB1M.

Menurut rakan penulis yang merupakan pembaca tegar bahan bacaan, tidak lengkap sesebuah kedai buku tersebut sekiranya bahan bacaan yang ditawarkan terhad. Penulis melihat perkara inilah yang perlu ditambah nilai supaya pembukaan KB1M di cawangan-cawangan terbaharu akan lebih menarik dengan mempunyai lebih banyak koleksi bahan bacaan. Antara jenis buku yang boleh ditambah adalah seperti buku untuk kanak-kanak dan juga buku teks sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Penulis memahami bahawa ruang KB1M tidaklah besar dan ini menyebabkan ia tidak boleh menampung lebih banyak bahan bacaan untuk para pembaca termasuklah tidak kelihatan akhbar-akhbar tempatan di jual di situ. Yang ada hanyalah majalah-majalah yang kebanyakannya dari luar negara.

Ruang yang besar amat penting bagi cawangan terbaharu KB1M yang akan dibuka pada masa akan datang kerana ia membolehkan lebih banyak buku dan bahan bacaan terutamanya yang diterbit dan ditulis oleh penerbit dan penulis tempatan. Di Malaysia terdapat ramai penulis tempatan yang hebat-hebat belaka. Perbanyakkan lagi ruang untuk memasarkan buku-buku penulis tempatan dalam semua genre penulisan. Utamakan penulis-penulis tempatan dan agenda untuk menggerakkan KB1M sebagai pusat aktiviti mini boleh memperbanyakkan lagi bahan bacaan yang ditulis oleh penulis tempatan.

Salah satu perkara yang boleh dilaksanakan adalah dengan memasarkan terus buku-buku penulis tempatan tanpa perlu melalui orang tengah yang mana ia akan membolehkan harga buku berlipat kali ganda lebih murah dan pada masa yang sama royalti mampu dibayar dengan jumlah lebih tinggi.

Kalau kita lihat di kedai-kedai buku yang ternama, buku-buku tersebut terpaksa melalui orang tengah sebelum ia dapat dipasarkan. Mekanisme tanpa melalui orang tengah akan menjadikan situasi menang-menang di kalangan para pembeli dan penulis.

Dicadangkan juga buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit IPT diberi ruang seluas-luasnya untuk memasarkan produk mereka. Ini kerana penerbit-penerbit IPT sukar untuk memasarkan produk-produk buku mereka di kedai buku berjenama dan ternama.

Selain itu, penulis juga ingin mencadangkan agar cawangan KB1M akan datang dibuka di kompleks membeli belah kerana lebih ramai orang dapat mengunjungi KB1M. Memang benar, UTC KL adalah kawasan yang amat strategik, namun kehadiran orang ramai lebih ke arah untuk pulang ke kampung dan bukannya berniat untuk mengunjungi KB1M.

Pembukaan KB1M di kompleks beli-belah seperti Mid Valley Mega Mall dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) akan menggamit lebih ramai lagi para pembeli. Strategi yang sama boleh digunakan untuk pembukaan cawangan-cawangan KB1M di negeri-negeri lain.

Walau terdapat beberapa perkara untuk penambahbaikan, namun, secara keseluruhannya, pembukaan KB1M di UTC KL merupakan permulaan yang amat baik dalam membantu rakyat mengurangkan kos pembelian bahan bacaan terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana ke bawah.

Di samping itu, KB1M akan membantu mengubah mentaliti dan budaya rakyat Malaysia ke arah menjadi pembaca tegar bahan bacaan berilmiah sejajar dengan status negara maju yang ingin dicapai pada tahun 2020. Insya-Allah, dengan pembukaan lebih banyak cawangan KB1M akan merancakkan lagi industri percetakan di Malaysia ketika kebanyakan industri percetakan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat sedang bergelut dengan era internet. Maka, sewajarnya KB1M dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.



1 komen:

  1. camane nk apply buka kedai buku 1 malaysia ni? sama mcm kedai runcit 1 malaysia jugak ke?

    ReplyDelete